SIAPAKAH ZINNIRAH?

SIAPAKAH ZINNIRAH? - Lama dah aku nak tulis pasal srikandi Islam bernama Zinnirah ini. Zinnirah bukanlah nama yang begitu dikenali dalam sejarah Islam tetapi beliaulah insan yang tabah dan mengagungkan Allah SWT lebih dari segalanya.

Dia bukanlah dikenali kerana kecantikan atau kekayaan. Dia hanyalah seorang hamba kepada Umar Al-Khattab sebelum Umar Al-Khattab memeluk Islam. 

Zinnirah seorang wanita berbangsa Rom dan telah dijual di Kota Makkah. Kemudian, Umar al-Khattab telah membelinya dengan harga yang murah untuk dijadikan hamba. Pada zaman itu, sesiapa yang memeluk Islam akan dihina dan dikecam. 

SIAPAKAH ZINNIRAH?


Pada peringkat awalnya, Zinnirah cuba untuk menyembunyikan keislamannya daripada diketahui Umar al-Khattab. Dia hanya melakukan ibadah secara sembunyi, ketika orang lain tiada berdekatan sisinya. Namun akhirnya, amalan Zinnirah telah dihidu.

Orang yang paling marah ketika itu adalah Umar al-Khattab sendiri. Sebelum memeluk Islam, Umar al-Khattab adalah seorang yang kejam, bengis dan tidak berhati perut.

Kerana terlalu marah akan kesetiaan Zinnirah terhadap Islam, Umar al-Khattab terus menampar Zinnirah, malah menendang dan mengikat kedua-dua belah kaki dan tangan Zinnirah. Bukan itu saja, Zinnirah juga dijemur di bawah terik matahari di padang pasir. Badannya juga dihempap dengan batu besar dan pelbagai lagi seksaan yang dilakukan terhadap Zinnirah.

Namun wanita ini masih mampu tersenyum dan mengucap zikir "Allah, Allah, Allah, Allahuakbar, Allah Yang Maha Besar" dan dia memujuk diri dan berbisik dalam hatinya, "Semuanya hanya kerana-Mu Ya Allah, aku membeli kesusahan ini untuk kesenangan di akhirat nanti", itulah antara ungkapan yang dapat melegakan Zinnirah.

SIAPAKAH ZINNIRAH?

Paling teruk, mata Zinnirah telah dicucuk dengan besi yang tajam dan akhirnya Zinnirah buta. Namun Zinnirah tetap mempertahankan aqidahnya dan semakin dia diuji, semakin dia berasa tentang keagungan Allah SWT. Allahuakbar, tulusnya hati Zinnirah. Zinnirah juga berdoa, moga Allah SWT memberi petunjuk pada orang yang menyeksanya.

Doa Zinnirah termakbul apabila Umar al-Khattab memeluk Islam, menerusi adik perempuannya, Fatimah. Sikap Umar al-Khattab berubah, daripada bengis menjadi lembut dan tidak berhati perut kepada bertimbang rasa.

Zinnirah, walaupun buta matanya tetapi dia celik dengan terus menerima kebenaran agama Islam. Namun orang-orang Quraisy sentiasa mempermainkannya dan mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh Tuhan yang mereka sembah iaitu Latta dan Uzza (berhala yang disembah oleh kafir Quraisy ketika itu).

Namun Zinnirah tidak cepat melatah, malah cuba meyakinkan orang-orang Quraisy bahawa dia buta kerana Allah SWT, dan hanya Allah SWT yang berkuasa untuk mengembalikan pancainderanya seperti sediakala. Maka, orang-orang Quraisy mula mencabar Zinnirah untuk membuktikan perkara itu. Umar al-Khattab pula sudah bosan untuk terus menyeksa Zinnirah kerana Zinnirah terlalu tabah mempertahankan agamanya.

SIAPAKAH ZINNIRAH?

Sesungguhnya Allah Maha Besar, setelah menarik sekejap nikmat melihat Zinnirah, Allah SWT telah mengembalikan penglihatan Zinnirah malah lebih terang dari sebelumnya. Tidak lama selepas itu, Saiyidina Abu Bakar datang menyelamatkan Zinnirah dengan membeli Zinnirah dengan harga yang sangat tinggi. Akhirnya, Zinnirah terselamat dari penindasan orang-orang kafir.

Antara sifat terpuji Zinnirah adalah, dia takut berbuat dosa. Dia sentiasa rasa Allah SWT memerhatikannya, setiap  saat. Dia tidak mudah tunduk dengan ajakan nafsu.  Hatinya dan juga akhlaknya sangat terpimpin. Jiwanya merasa aman daripada kongkongan nafsu. Dia mempunyai jiwa yang merdeka.  Tidak terkenal di dunia namun dia tetap Srikandi Islam Yang Hebat!

Membaca kisah Zinnirah ini, buat hati aku terusik. Teringat ujian yang Allah SWT bagi pada aku, sesungguhnya setiap ujian yang Allah SWT bagi ini bukanlah sengaja, tetapi memberi pulangan hikmah yang besar. Moga hati aku tulus dan redha seperti Zinnirah.

SUMBER : Ibnu Muslim

The writer,
Tunsha Ayunie

1 comment: