KANSER TIROID : RISIKO DAN JENIS-JENIS YANG PERLU KITA TAHU (PART 2)

KANSER TIROID : RISIKO DAN JENIS-JENIS YANG PERLU KITA TAHU (PART 2) - Untuk pengetahuan semua, Kanser Tiroid bermula apabila sel kalenjar tiroid menjadi tidak normal, termasuklah apabila ia membesar tanpa kawalan dan membentuk jisim tisu (ketumbuhan atau tumor).

Ketumbuhan pada tiroid ini dikenali sebagai nodul, yang mana ia mungkin berbentuk BENIGNA (bukan kanser) atau MELIGNAN (kanser). Ada pelbagai ciri yang dapat membezakan antara nodul Benigna dengan nodul Melignan.



Berikut merupakan ciri yang membezakan kedua-dua nodul tersebut, iaitu :

NODUL BENIGNA

● Tidak menembusi tisu di sekelilingnya
● Tidak merebak ke bahagian lain badan
● Biasanya tidak perlu dibuang
● Biasanya tidak akan mengancam nyawa akan tetapi ia bergantung juga kepada saiz dan tempat dimana ia ditemui 

NODUL MELIGNAN

● Sesetengahnya adalah dalam keadaan yang boleh mengancam nyawa
● Boleh menembusi tisu dan organ di sekitarnya
● Boleh merebak ke bahagian lain dalam badan
● Boleh dibuang atau dimusnahkan, tapi kadang-kadang kanser tersebut boleh muncul kembali dalam tempoh masa tertentu (yang paling ditakuti, cancer recurrent)



JENIS-JENIS KANSER TIROID

Jangan tak tahu, Kanser Tiroid pun ada banyak jenis. Dan kanser Tiroid boleh merebak ke salur darah yang mampu membentuk tumor baru serta memusnahkan organ lain dalam badan.




Terdapat EMPAT JENIS Kanser Tiroid, iaitu :
.

TUMOR PAPILARI

Tumor jenis ini berkembang di dalam sel-sel yang menghasilkan hormon tiroid yang mengandungi iodin. Ia biasanya tumbuh secara perlahan. Walaubagaimanapun, tumor ini boleh merebak ke nodus limfa (lymph node) pada leher atau kawasan berdekatan dengannya.

Kebanyakan tumor jenis ini dapat dirawat walaupun sel-sel tersebut telah merebak ke nodus limfa yang berdekatan. Tapi, ia juga bergantung kepada subjenisnya dan kesempurnaan pembedahan serta tahap penyakit.


TUMOR FOLIKEL

Tumor ini berkembang di dalam sel-sel yang menghasilkan iodin dan mempunyai satu lapisan tisu nipis di sekelilingnya yang dinamakan kapsul. Kebanyakan tumor ini boleh dirawat tapi ianya mungkin susah untuk dirawat bila tumor tersebut telah menembusi salur darah atau tumbuh melepasi kapsul ke dalam struktur yang berdekatan dengan leher. Akan tetapi, ia juga bergantung kepada subjenisnya, kesempurnaan pembedahan dan tahap penyakit.


TUMOR MEDULA

Tumor jenis ini menjejaskan sel tiroid yang menghasilkan hormon yang tidak mengandungi iodin. Selain itu, tumor jenis ini tumbuh secara perlahan akan tetapi lebih sukar untuk dirawat berbanding dengan tumor papilari dan folikel. Kanser tersebut merebak ke bahagian lain dalam badan.


TUMOR ANAPLASTIK

Tumor ini merupakan tumor tiroid yang paling cepat merebak dan boleh merebak dengan pantas ke bahagian lain dalam badan.




APAKAH FAKTOR RISIKO TERKENA KANSER TIROID?


Terdapat beberapa faktor risiko Kanser Tiroid, antaranya :

Orang yang sering terdedah dengan sinaran X yang tinggi berisiko mendapat Kanser Tiroid. selain itu, mereka yang selalu menggunakan sinaran X, walaupun dalam dose rendah juga mempunyai risiko yang sama.

Wanita lebih berisiko mendapat Kanser Tiroid berbanding lelaki. Ada kajian dari statistik Kanser Malaysia untuk Semenanjung Malaysia (2006) , menunjukkan wanita adalah 3 kali ganda lebih berisiko mendapat Kanser Tiroid berbanding lelaki.

Terdapat Kanser Tiroid yang mungkin diwarisi. Maknanya, kalau ibu atau ayah atau kaum keluarga yang mengidap Kanser Tiroid, maka kita juga berisiko untuk mendapatnya.

Jadi, semoga sentiasa alert dengan simptom yang mencurigakan. Lebih baik mencegah dari tidak berbuat apa-apa, kan?

Kredit Info dari Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Post a Comment

1 Comments