RESEPI RISOLES SAYURAN AUNI STYLE

RESEPI RISOLES SAYURAN AUNI STYLE - Dah lama teringin nak buat Risoles ni tapi sebab tak berapa rajin. Harini mood rajin tiba-tiba je datang, so aku pun minta tolong Is belikan bahan. Resepi asal ada ayam atau daging, tapi aku hanya menggunakan kentang dan lobak merah.

Bila aku perhatikan Risoles ni, aku rasa ianya seakan kuih dadar berlauk yang Mama pernah buat. Macam kuih ketayap versi savuri. Cuma kuih dadar berlauk Mama tidak digoreng. Risoles perlu digoreng.


RESEPI RISOLES SAYURAN

Bahan-bahan inti :
1 labu bawang holland - potong dadu
2 ulas bawang putih - cincang
2 biji kentang - potong dadu
1 batang lobak merah - potong dadu
Segenggam daun sup - mayang halus
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit bancuhan air tepung jagung

Cara-cara :
Panaskan minyak dan tumiskan bawang holland dan bawang putih. Biar sehingga layu dan masukkan kentang dan lobak merah. Masak sehingga empuk. Tambahkan air dan biarkan kentang dan lobak merah lembut. Masukkan garam dan gula serta daun sup. Akhir sekali masukkan sedikit bancuhan air tepung jagung. Biarkan masak seketika dan sejukkan.

Bahan-bahan kulit :
2 cawan tepung gandum
1 kotak kecil susu full cream Dutch Lady
1 cawan air
1 biji telur
secubit garam
sesenduk minyak

Cara-cara :
Campurkan semua bahan. Nak senang kisar je kemudian tapis. Gunakan non-stick pan dan masak adunan secara nipis. Bancuhan adunan juga mestilah tidak terlalu cair atau terlalu pekat. Aku punya sedang-sedang je.

Bahan lain :
Sedikit tepung gandum bancuh dengan air sejuk

Cara-cara menyediakan Risoles :
Masukkan sesudu besar inti ke dalam kepingan kulit. Balut dan kemudian celup dalam bancuhan tepung. Goreng dalam minyak yang panas sehingga kedua-dua belah Risoles menjadi garing.

TIPS : Pastikan minyak betul-betul panas kemudian biarkan api dalam keadaan sederhana besar. Semasa menggoreng, jangan membalik-balikkan Risoles. Biarkan 2 minit setiap bahagian yang digoreng.

**** Risoles sedap dimakan dengan cili padi. Selamat mencuba :)




Post a Comment

0 Comments